Jumaat, 23 Julai 2010

SAMPAI BILA .......

Setelah meniti hari-hari mendatang, setelah mengimbau hari-hari yang telah berlalu persoalannya sampai bila para pelajar SMSKP mencipta jati diri yang unggul. Pada raut sebahagian wajah-wajah mereka sebenarnya dalam keadaan tidak keruan. Kadang-kala dirasakan mereka seperti layang-layang putus tali. Sebenarnya keadaan ini boleh diubah melalui permuafakatan semua pihak. Wajarnya sama-sama berbincang, mencari titik noktahnya agar semua pihak merasa bahagia berpijak di bumi SMSKP.

Sabtu, 17 Julai 2010

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 5

Kesan Migrasi Dalaman Penduduk di Kawasan Kajian

Kegiatan migrasi yang berlaku di kawasan kajian sebenarnya telah memberi kesan yang positif dan negatif. Antara kesan-kesan yang dapat dilihat ialah :

a. Penduduk bertambah

Migrasi dalaman yang berlaku ini telah menyebabkan bilangan penduduk di kawasan kajian telah meningkat walau pun terdapat penduduk yang telah berhijrah ke luar. Ini diseimbangkan oleh kemasukan penduduk disebabkan oleh faktor governan, ikut keluarga dan perkahwinan. Walau bagaimanapun jumlah penduduk di kawasan kajian masih stabil dan masih ada kawasan yang belum dihuni oleh penduduk.

b. Hasil pertanian bertambah

Migrasi yang berlaku ini telah menyebabkan hasil pertanian telah bertambah disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pertambahan pembukaan kawasan pertanian. Keadaan ini telah menghasilkan lebih banyak jumlah pengeluaran terutamanya hasil tanaman padi.

c. Masalah sosial

Hal ini sebenarnya disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh pekerja-pekerja asing yang dibawa oleh penduduk kampung untuk bekerja dalam sektor pertanian. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk asing semakin bertambah di kawasan kajian. Mereka ini kadang kala telah menimbulkan masalah sosial seperti kes pecah rumah dan mengganggu anak-anak gadis masyarakat setempat.

d. Penggangguran

Kemasukan terlalu ramai penduduk kawasan sekitar dan warga asing telah menyebabkan berlaku persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan. Apabila berlakunya persaingan ini akan menyebabkan berlakunya masalah penggangguran.

e. Struktur penduduk berubah

Migrasi luar bandar ke bandar yang berlaku di kawasan kajian telah menyebabkan struktur penduduk berubah. Ini kerana kebanyakkan penduduk yang berhijrah ialah golongan belia atau muda terutamanya lelaki. Keadaan ini telah menyebabkan golongan muda semakin berkurangan dan golongan kanak-kanak serta tua terus bertambah. Keadaan ini telah menyukarkan penduduk untuk mengadakan aktiviti kerana kekurangan tenaga buruh yang kuat.

Penerapan unsur patriotisme

Saya berharap walau pun penduduk di kawasan kajian berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, kemakmuran kampung juga perlu dipelihara. Penduduk kampung perlulah saling bekerjasama untuk memastikan keadaan kampung sentiasa selamat untuk dihuni. Perlu wujudkan rukun tetangga untuk menjaga keselamatan kampung daripada sebarang masalah sosial daripa terus berlaku.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana kampung saya masih lagi aman dan selamat untuk dihuni.

Langkah-Langkah Mengatasi Kesan Migrasi Dalaman Penduduk

Bagi memastikan keadaan kampung saya selamat daripada sebarang masalah, beberapa tindakan boleh diambil. Antaranya ialah :

a. Wujudkan Rukun Tetangga

Rukun Tetangga ini perlu diwujudkan di kampung saya untuk memastikan kawasan kampung sentiasa selamat daripada masalah sosial seperti kegiatan pecah rumah. Giliran bertugas dan berkawal malam perlu dilakukan oleh penduduk bagi memastikan keadaan kampung sentiasa terkawal terutamanya pada waktu malam.

b. Wujudkan Peluang Pekerjaan

Bagi mengatasi masalah pengangguran, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. Keadaan ini penting bagi mengatasi masalah sosial yang diwujudkan oleh mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

c. Meningkatkan Kemudahan Kesihatan dan Pendidikan

Pihak kerajaan atau Jawatan Kuasa Kampung perlulah memastikan kemudahan kesihatan dan pendidikan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Keadaan ini sangat penting bagi memastikan golongan muda atau belia tidak berpindah atau meninggalkan kampung dan berhijrah ke kawasan bandar.

Penerapan Unsur Patriotisme

Saya sebagai penduduk berasa amat bangga kerana melalui langkah-langkah yang dilakukan, masalah dan kesan negatif lain dapat dikurangkan. Kita perlu sedar bahawa kampung ini merupakan tempat tinggal bagi saya sehingga saya menghembuskan nafas terakhir.

Justeru itu, saya amat mengharapkan agar semu individu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kampung ini daripada sebarang masalah yang dihadapi. Semangat kerjasama dan tolong menolong perlu ada dalam diri setiap penduduk kampung saya ini.

RUMUSAN

Migrasi ini sememangnya merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting migrasi ini perlu dikawal supaya ia tidak menimbulkan masalah kepada penduduk kampung. Sebagai contoh, kemasukan warga asing yang keterlaluan boleh menyebabkan berlakunya masalah sosial kepada penduduk kampung. Di samping itu, golongan belia digalakkan untuk tidak berpindah kerana mereka merupakan aset yang amat berharga untuk membangunkan kawasan kampung saya.

Jumaat, 16 Julai 2010

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 4

HASIL KAJIAN

Konsep Migrasi Penduduk

Secara umum migrasi penduduk ialah penghijrahan seseorang yang melintasi sempadan, kawasan, negeri, negara atau sempadan antarabangsa. Merujuk kepada kajian ini migrasi yang dibincangkan ialah migrasi dalaman. Dalam konteks ini, migrasi ialah penghijrahan penduduk dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pola Migrasi Penduduk

Setelah kajian dijalankan, saya dapati terdapat beberapa pola migrasi yang sering berlaku di kampung saya. Berikut ialah pola migrasi yang wujud :

a. Migrasi luar bandar ke bandar

Ini ialah merupakan migrasi yang paling banyak berlaku di kawasan kampung saya. Migrasi ini berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu tolakan dan tarikan. Faktor tolakan disebabkan kurangnya peluang pekerjaan dan pendapatan yang terhad, tidak lumayan dan tidak tetap. Manakala faktor tarikan pula ialah kerana kawasan bandar menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik sama ada di sektor awam dan swasta seperti perkilangan, pembinaan, perniagaan dan perkhidmatan.

b. Migrasi luar bandar ke luar bandar

Migrasi ini juga berlaku di kawasan kampung saya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh dasar kerajaan yang membuka rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, KEJORA, KETENGAH dan KESEDAR telah menarik penduduk yang tidak mempunyai tanah di luar bandar untuk berhijrah ke rancangan pembangunan tanah ini. Keadaan ini telah menarik minat penduduk kawasan luar bandar yang lain berhijrah ke kampung saya.

Faktor Yang Mempengaruhi Migrasi Dalaman Penduduk di Kawasan Kajian

Migrasi dalaman yang berlaku di kawasan kampung saya ini disebabkan oleh beberapa faktor. Setelah menganalisis borang soal selidik didapati faktor tersebut ialah :

a. Melanjutkan pelajaran

Kebanyakan pelajar yang telah menghabiskan persekolahan telah meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran ke bandar kerana di sana menawarkan banyak peluang pendidikan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara, institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kolej-kolej yang boleh memberikan masa depan kepada pelajar.

b. Peluang pekerjaan

Sememangnya migrasi luar bandar ini berlaku disebabkan oleh peluang pekerjaan yang lebih meluas di kawasan bandar. Sebagai contoh peluang kerja dalam sektor perindustrian, perniagaan, pembuatan dan lain-lain. Kadar upah yang tinggi juga menyebabkan penduduk di kampung saya berpindah ke kawasan bandar.

c. Governan

Pihak kerajaan telah memajukan kawasan kampung saya dengan adanya pembukaan tanah-tanah baru untuk kawasan pertanian seperti kelapa sawit di bawah agensi FELDA dan FELCRA. Keadaan ini menyebabkan terdapatnya penduduk dari kawasan luar bandar yang lain telah berpindah ke kawasan kampung saya untuk mencari peluang pekerjaan daripada sektor pertanian. Sebagai contoh, penduduk dari Kampung Hilir dan kawasan sekitarnya.

d. Ikut keluarga atau perkahwinan

Daripada borang soal selidik yang telah dianalisis, saya mendapati terdapat beberapa buah keluarga yang datang ke kampung saya disebabkan kerana mengikut keluarga dan berkahwin dengan penduduk daripada kampung saya. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan bilangan penduduk di kampung saya semakin bertambah secara semulajadi.

Penerapan Unsur Patriotisme

Saya sangat bersyukur kerana di kawasan kampung saya mempunyai penduduk yang hidup dalam keadaan aman, damai dan sentosa walaupun bilangan penduduk sering berubah disebabkan oleh faktor migrasi dalaman ini.

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 3

PETA KAWASAN KAJIAN

A. LUKIS PETA DAERAH KUBANG PASU

B. PETA KAWASAN KAJIAN - PETA KAMPUNG BUKIT TINGGI

Catatan : Pelajar diminta melukis peta kawasan kajian tempat kajian dijalankan (kena lukis sendiri) dan lengkapkan peta dengan perkara-perkara berikut :

1. Bingkai dan tajuk.

2. Arah mata angin.

3. Petunjuk

4. Simbol piawai.

5. Perlu diwarnakan mengikut kesesuaian.

KAEDAH KAJIAN

Sebelum memulakan kajian, saya telah mengenalpasti beberapa kaedah yang akan digunakan untuk memudahkan saya mencatat maklumat secara terperinci dan bersistematik. Oleh itu, saya telah menggunakan empat kaedah untuk menjalankan kerja kursus ini. Berikut merupakan kaedah yang telah digunakan :

a. Pemerhatian

Saya telah membuat pemerhatian untuk mengenal pasti pola migrasi yang berlaku di kawasan Kampung Bukit Tinggi.

b. Temu Bual

Seterusnya saya telah menemu bual beberapa orang penduduk kampung untuk mengetahui pendapat dan pandangan mereka tentang pola migrasi di kawasan kajian. Temu bual dijalankan kepada penduduk kampung yang telah lama menetap di situ kerana mereka lebih berpengalaman dan tahu tentang keadaan kawasan kampung.

c. Soal selidik

Saya juga telah menyediakan 20 borang soal selidik yang perlu diisi oleh penduduk kampung yang akan menjadi responden terhadap kajian yang akan dilakukan.

d. Rujukan

Selain itu, saya juga membuat rujukan di perpustakaan dan melayari internet untuk mendapatkan maklumat tambahan terutamanya tentang penerangan migrasi yang berlaku di Malaysia.

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 2

OBJEKTIF KAJIAN

Berikut adalah objektif-objektif kajian yang telah saya jalankan :

1. Mendefinisikan konsep migrasi penduduk dengan tepat dan jelas.

2. Menyatakan pola migrasi penduduk di kawasan kajian.

3. Menyatakan faktor yang mempengaruhi migrasi dalaman penduduk di kawasan kajian.

4. Menyatakan kesan migrasi dalaman penduduk di kawasan kajian.

5. Mencadangkan langkah untuk mengatasi kesan migrasi yang berlaku di kawasan kajian.

6. Penerapan nilai dan unsur patriotisme terhadap penduduk di kawasan kajian mengenai kepentingan migrasi.

KAWASAN KAJIAN

Kajian ini telah dijalankan di Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah. Lokasi kawasan kajian ini terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Alor Setar dan kira-kira 7 kilometer dari Pekan Jitra. Biasanya tambang bas yang dikenakan untuk pengangkutan bas ke sekolah ialah RM1.40 untuk perjalanan pergi dan balik yang mengambil masa 15 minit untuk sampai ke sekolah. Kawasan kampung saya mempunyai sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi yang mempunyai pelajar seramai 450 orang. Kampung saya juga untuk dikunjungi kerana mempunyai sistem perhubungan dan pengangkutan yang sempurna.

Kampung Bukit Tinggi mempunyai tanah yang subur (tanah pamah) yang rata. Keadaan ini menggalakkan sebahagian besar penduduk terlibat dalam aktiviti pertanian. Kampung ini telah wujud sekitar tahun 1900 an yang lalu. Kini telah mempunyai kira-kira 1200 orang penduduk yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum Melayu. Pekerjaan utama penduduk ialah dalam sektor pertanian iaitu menanam kelapa sawit dan selebihnya terlibat dengan sektor perkilangan, perniagaan dan profesional seperti bekerja sebagai guru dan pekerja swasta.

PANDUAN KERJA KURSUS GEOGRAFI

(sekadar panduan)

PENGHARGAAN

Saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada Pengetua Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Tuan Haji Ismail bin Ibrahim kerana telah memberikan kebenaran kepada saya untuk menjalankan kerja kursus ini. Tidak lupa juga kepada Guru Geografi saya iaitu Encik Zulkepli bin Yusoff yang telah banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat sepanjang kajian ini dijalankan.

Ucapan terima kasih juga kepada ibu bapa saya, Tuan Haji Yusoff bin Haji Hashim dan Puan Hajah Jamilah binti Ahmad kerana memberikan sokongan dan dorongan kepada saya untuk menyiapkan kerja kursus ini. Banyak wang ringgit yang telah mereka habiskan demi memastikan kajian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tidak lupa juga buat rakan-rakan saya iaitu Shahirah binti Mohamad Zainal Abidin yang telah banyak membantu saya ketika proses soal selidik dan temu bual dilakukan. Terima kasih juga kerana sudi meminjamkan basikal kepada saya.

Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Bukit Tinggi yang telah sudi memberikan kerjasama yang baik kepada saya semasa kajian ini dijalankan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian semua.

PENDAHULUAN

Kajian kerja kursus ini perlu dilakukan kerana ia merupakan syarat untuk pensijilan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kami semua telah diberikan tajuk iaitu Migrasi Dalaman Penduduk. Oleh itu, kami semua telah diarahkan oleh guru untuk membuat kajian ini di tempat sendiri memandangkan ia amat bersesuaian dengan tajuk yang diberikan. Di Kampung Bukit Tinggi, sememangnya terdapat migrasi yang berlaku. Ini disebabkan perkembangan sektor pekerjaan di kawasan sekitarnya.

Masa yang diambil untuk menjalankan kerja kursus ini ialah bermula bulan Jun sehingga bulan Ogos iaitu kira-kira tiga bulan. Setiap pelajar perlu menulis satu laporan yang lengkap tentang kajian yang telah dijalankan.

Saya berharap agar kajian dan laporan ini akan mendatangkan manfaat dan faedah khususnya kepada saya dan amnya kepada masyarakat di kawasan tempat tinggal.

Jumaat, 9 Julai 2010

KURSUS PROTOKOL DAN ETIKET SOSIAL


Pada 5 hingga 7 Julai 2010 yang lalu, saya telah menghadiri Kursus Protokol dan Etiket Sosial. Kursus berkenaan telah diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Utara (Intura) di Sungai Petani, Kedah. Kursus berkenan telah dikendalikan oleh Tuan Haji Azhar bin Omar, seorang yang amat berpengalaman luas dalam bidang berkenaan. Kursus berkenaan telah dihadiri oleh 41 orang peserta iaitu sepuluh orang peserta lelaki dan selebihnya adalah wanita. Para peserta terdiri daripada pelbagai latar dalam perkhidmatan awam. Tempoh kursus berkenaan walau pun agak singkat, namun banyak pengetahuan telah dapat diperolehi dan diaplikasikan dalam tugas harian sebagai penjawat awam. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan kursus berkenaan. Sekalung penghargaan kepada Tuan Haji Azhar bin Omar di atas kesudian mencurahkan ilmu kepada kami semua.

SALAM PERKENALAN

Salam perkenalan diucapkan kepada pengunjung blog ini. Semoga anda semua dapat memanfaatkan blog ini dalam usaha menimba ilmu pengetahuan. Sama-samalah kita jadikan blog ini sebagai medium bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan.