Sabtu, 17 Julai 2010

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 5

Kesan Migrasi Dalaman Penduduk di Kawasan Kajian

Kegiatan migrasi yang berlaku di kawasan kajian sebenarnya telah memberi kesan yang positif dan negatif. Antara kesan-kesan yang dapat dilihat ialah :

a. Penduduk bertambah

Migrasi dalaman yang berlaku ini telah menyebabkan bilangan penduduk di kawasan kajian telah meningkat walau pun terdapat penduduk yang telah berhijrah ke luar. Ini diseimbangkan oleh kemasukan penduduk disebabkan oleh faktor governan, ikut keluarga dan perkahwinan. Walau bagaimanapun jumlah penduduk di kawasan kajian masih stabil dan masih ada kawasan yang belum dihuni oleh penduduk.

b. Hasil pertanian bertambah

Migrasi yang berlaku ini telah menyebabkan hasil pertanian telah bertambah disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pertambahan pembukaan kawasan pertanian. Keadaan ini telah menghasilkan lebih banyak jumlah pengeluaran terutamanya hasil tanaman padi.

c. Masalah sosial

Hal ini sebenarnya disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh pekerja-pekerja asing yang dibawa oleh penduduk kampung untuk bekerja dalam sektor pertanian. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk asing semakin bertambah di kawasan kajian. Mereka ini kadang kala telah menimbulkan masalah sosial seperti kes pecah rumah dan mengganggu anak-anak gadis masyarakat setempat.

d. Penggangguran

Kemasukan terlalu ramai penduduk kawasan sekitar dan warga asing telah menyebabkan berlaku persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan. Apabila berlakunya persaingan ini akan menyebabkan berlakunya masalah penggangguran.

e. Struktur penduduk berubah

Migrasi luar bandar ke bandar yang berlaku di kawasan kajian telah menyebabkan struktur penduduk berubah. Ini kerana kebanyakkan penduduk yang berhijrah ialah golongan belia atau muda terutamanya lelaki. Keadaan ini telah menyebabkan golongan muda semakin berkurangan dan golongan kanak-kanak serta tua terus bertambah. Keadaan ini telah menyukarkan penduduk untuk mengadakan aktiviti kerana kekurangan tenaga buruh yang kuat.

Penerapan unsur patriotisme

Saya berharap walau pun penduduk di kawasan kajian berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, kemakmuran kampung juga perlu dipelihara. Penduduk kampung perlulah saling bekerjasama untuk memastikan keadaan kampung sentiasa selamat untuk dihuni. Perlu wujudkan rukun tetangga untuk menjaga keselamatan kampung daripada sebarang masalah sosial daripa terus berlaku.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana kampung saya masih lagi aman dan selamat untuk dihuni.

Langkah-Langkah Mengatasi Kesan Migrasi Dalaman Penduduk

Bagi memastikan keadaan kampung saya selamat daripada sebarang masalah, beberapa tindakan boleh diambil. Antaranya ialah :

a. Wujudkan Rukun Tetangga

Rukun Tetangga ini perlu diwujudkan di kampung saya untuk memastikan kawasan kampung sentiasa selamat daripada masalah sosial seperti kegiatan pecah rumah. Giliran bertugas dan berkawal malam perlu dilakukan oleh penduduk bagi memastikan keadaan kampung sentiasa terkawal terutamanya pada waktu malam.

b. Wujudkan Peluang Pekerjaan

Bagi mengatasi masalah pengangguran, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. Keadaan ini penting bagi mengatasi masalah sosial yang diwujudkan oleh mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

c. Meningkatkan Kemudahan Kesihatan dan Pendidikan

Pihak kerajaan atau Jawatan Kuasa Kampung perlulah memastikan kemudahan kesihatan dan pendidikan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Keadaan ini sangat penting bagi memastikan golongan muda atau belia tidak berpindah atau meninggalkan kampung dan berhijrah ke kawasan bandar.

Penerapan Unsur Patriotisme

Saya sebagai penduduk berasa amat bangga kerana melalui langkah-langkah yang dilakukan, masalah dan kesan negatif lain dapat dikurangkan. Kita perlu sedar bahawa kampung ini merupakan tempat tinggal bagi saya sehingga saya menghembuskan nafas terakhir.

Justeru itu, saya amat mengharapkan agar semu individu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kampung ini daripada sebarang masalah yang dihadapi. Semangat kerjasama dan tolong menolong perlu ada dalam diri setiap penduduk kampung saya ini.

RUMUSAN

Migrasi ini sememangnya merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting migrasi ini perlu dikawal supaya ia tidak menimbulkan masalah kepada penduduk kampung. Sebagai contoh, kemasukan warga asing yang keterlaluan boleh menyebabkan berlakunya masalah sosial kepada penduduk kampung. Di samping itu, golongan belia digalakkan untuk tidak berpindah kerana mereka merupakan aset yang amat berharga untuk membangunkan kawasan kampung saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan