Rabu, 24 November 2010

LMC SIRI 05

Soalan 81
Perkembangan petempatan yang menerima pengaruh pengangkutan sungai yang paling ketara ialah

A Kuala Lumpur
B Klang
C Sibu
D Kuantan

Soalan 82
Satu persamaan antara petempatan bandar Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu ialah

A ibu negeri dan pelabuhan penting
B pusat pentadbiran dan pusat perindustrian
C pusat perindustrian dan pusat perlombongan
D pusat pelabuhan sungai dan pusat pengajian tinggi

Soalan 83
Petempatan di bandar raya Shah Alam, Selangor bertambah pesat disebabkan oleh faktor

A tanih
B bentuk muka bumi
C perindustrian
D ketersampaian

Soalan 84
Faktor utama yang menyebabkan perkembangan Kuala Lumpur ialah

A pusat pertanian utama negara
B terdapatnya lapangan terbang antarabangsa
C terdapat banyak peluang pekerjaan
D merupakan pusat pengumpulan hasil pembalakan

Soalan 85
Apakah faktor utama yang menjadikan sungai sebagai kawasan tumpuan penduduk?

A Bebas dari bencana alam
B Tiada gangguan binatang buas
C Kesuburan tanih aluvium
D Kemudahan pengangkutan yang maju

Soalan 86
Apakah peranan kawasan luar bandar di Malaysia?

A Membekalkan tenaga buruh
B Pengeluar utama hasil pertanian
C Menyediakan pengetahuan
D Pengeluar hasil laut

Soalan 87
Mengapakah sungai sering menjadi tumpuan penduduk?

A Kemajuan pengangkutan
B Ketiadaan bencana alam
C Kesuburan tanih aluvium
D Kejernihan air dan keindahannya

Soalan 88
Apakah kegiatan utama yang terdapat di kawasan lembah sungai di Asia Tenggara?

A Perindustrian
B Pertanian
C Pembuatan
D Perlombongan

Soalan 89
Salah satu petempatan yang menunjukkan pola petempatan berpusat ialah

A sawah padi
B kampung baru
C kampung nelayan
D permatang

Soalan 90
Pola petempatan sesuatu tempat tidak dipengaruhi oleh faktor

A fizikal
B iklim
C ekonomi
D sosial

Soalan 91
Petempatan ini merupakan petempatan terancang yang dimajukan oleh FELDA iaitu

A Segi Tiga Jengka
B Bandar Kertih
C Bukit Kayu Hitam
D Bayan Baru

Soalan 92
Pola petempatan di sesuatu kawasan ditentukan oleh

A bentuk muka bumi
B susunan bangunan
C kegiatan ekonomi
D kemudahan perhubungan

Soalan 93
Pola petempatan berselerak kebiasaannya terdapat di kawasan

A sepanjang landasan kereta api
B kebun kecil getah
C ladang kelapa sawit
D pinggir laut

Soalan 94
Pola petempatan yang dipengaruhi oleh sistem pembahagian tanah pusaka di kawasan luar bandar ialah

A berkelompok
B berselerak
C berjajar
D berpusat

Soalan 95
Kawasan ini telah berkembang akibat kegiatan pertanian. Kawasan tersebut ialah

A Gua Musang
B Lembah Bujang
C Dataran Kedah
D Ipoh

Soalan 96
Kesan positif akibat pembandaran ialah

A pertambahan dalam bilangan penduduk
B pertambahan bilangan bangunan
C perkembangan ekonomi
D perluasan kawasan bandar

Soalan 97
Langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah pembandaran ialah

A mengehadkan penduduk desa ke bandar
B membangunkan kawasan luar bandar
C mengetatkan pengeluaran lesen untuk perniagaan
D mengawal penggunaan tanah dalam bandar

Soalan 98
Bandar baru yang telah dimajukan di bawah rancangan kemajuan kerajaan ialah

A Bandar Baru Sentul
B Bandar Baru Sungai Buloh
C Bandar Baru Bangi
D Bandar Baru Shah Alam

Soalan 99
Perubahan utama yang menyumbang kepada proses pembandaran ialah

A kegiatan ekonomi penduduk
B komposisi penduduk
C emigrasi
D masalah sosial

Soalan 100
Apakah faktor utama yang membezakan petempatan desa dan bandar?

A Keluasan kawasan
B Kepadatan penduduk
C Pola petempatan
D Fungsi utama

LMC SIRI 02

Soalan 21
Pernyataan yang manakah benar tentang iklim Malaysia?

A Panas dan lembap sepanjang tahun
B Empat musim dalam setahun
C Hujan maksimum pada musim sejuk
D Satu musim kering yang nyata

Soalan 22
Apakah faktor yang menyebabkan perbezaan suhu di antara Tanah Tinggi Cameron dan Kuala Lumpur?

A Latitud
B Ketinggian
C Sifat kebenuaan
D Sistem angin

Soalan 23
Pernyataan yang manakah benar tentang iklim Malaysia?

A Hujan maksimum dua kali setahun
B Hujan maksimum dibawa oleh angin Sumatera
C Daerah Jelebu merupakan kawasan paling lembap
D Satu musim kering yang nyata

Soalan 24
Apakah faktor yang menyebabkan suhu yang setara di Semenanjung Malaysia?

A Diliputi hutan tebal
B Langit sentiasa tebal
C Kawasan tingginya luas
D Kedudukannya berhampiran Garisan Khatulistiwa

Soalan 25
Apakah yang menyebabkan kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia lembap?

A Menerima angin lembap sepanjang tahun
B Menghadap ke arah tiupan angin lembap
C Suhunya rendah sepanjang tahun
D Kedudukannya di kawasan tanah pamah

Soalan 26
Angin Monsun Timur Laut membawa sedikit hujan ke pantai barat Semenanjung Malaysia kerana

A kedudukannya di kawasan lindungan hujan
B halaju angin terlalu perlahan
C kawasannya amat luas
D kawasannya bergunung-ganang

Soalan 27
Apakah faktor yang menyebabkan kawasan Bukit Larut menerima hujan melebihi 5,000 mm setahun?

A Terletak di pedalaman
B Menghadap tiupan angin Monsun Barat Daya
C Kawasannya sederhana tinggi
D Kawasan lapang luas

Soalan 28
Apakah faktor yang menyebabkan kelembapan udara sentiasa tinggi di Malaysia?

A Kadar sejatan yang tinggi
B Awan sentiasa tebal
C Suhu sentiasa tetap
D Waktu malam sangat sejuk

Soalan 29
Malaysia menerima sinaran cahaya matahari hampir sepanjang hari kerana

A dikelilingi laut
B kedudukannya di kawasan Khatulistiwa
C berbentuk semenanjung
D langitnya sentiasa cerah

Soalan 30
Mengapakah penduduk di Gurun Thar hidup berpindah-randah dengan binatang ternakan mereka?

A Kekurangan tempat tinggal tetap
B Mencari rumput dan air
C Mengelakkan diri dari banjir kilat
D Kemarau berpanjangan

Soalan 31
Mengapakah petempatan kekal di Gurun Thar bertumpu di kawasan oasis?

A Terdapat bekalan air
B Hujan tahunannya banyak
C Tanah pamahnya luas
D Keadaannya nyaman dan selesa

Soalan 32
Umiak digunakan oleh orang Eskimo untuk

A menangkap ikan
B dijadikan tempat tinggal
C memanaskan badan
D memburu binatang

Soalan 33
Apakah faktor yang mempengaruhi kegiatan memburu dan menangkap ikan di kawasan Greenland?

A Kegiatan pertanian sukar dijalankan
B Banyak binatang dan ikan
C Permintaan bagi daging banyak
D Kekurangan kawasan untuk pertanian

Soalan 34
Pada pendapat anda, di manakah kehidupan penduduk lebih selesa dan mudah?

A Siberia
B Artik
C Malaysia
D Gurun Thar

Soalan 35
Apakah langkah untuk mengurangkan masalah pencemaran udara di bandar raya?

A Menambahkan kenderaan bermotor
B Menambahkan bilangan bangunan tinggi
C Memasang penapis asap di kilang
D Mengurangkan tumbuh-tumbuhan

Soalan 36
Apakah kegiatan manusia yang boleh mengakibatkan penipisan lapisan ozon?

A Pertanian tradisional
B Penggunaan bahan klorofluorokarbon
C Kewujudan taman negara
D Pembinaan taman bunga

Soalan 37
Apakah kesan yang akan berlaku sekiranya pembalakan dan pertanian pindah secara berleluasa mungkin akan mengakibatkan

A hujan lebat
B angin taufan
C penurunan suhu
D kemarau

Soalan 38
Pembangunan yang pesat di kawasan pusat bandar akan menyebabkan fenomena

A hujan lebat
B angin kencang
C penurunan suhu
D pulau haba bandar

Soalan 39
Mengapakah berlakunya kejadian hujan asid di negara-negara maju?

A Kekurangan kawasan hutan
B Pertumbuhan penduduk yang pesat
C Peningkatan taraf hidup yang tinggi
D Perindustrian yang pesat

Soalan 40
Peningkatan suhu setempat di kawasan padat penduduk disebabkan oleh kegiatan

A pembalakan
B pembangunan yang pesat
C pertanian moden
D peningkatan taraf hidup

LMC SIRI 04

Soalan 61
Kegiatan ekonomi yang menyebabkan Georgetown berpenduduk padat ialah

A pertanian
B perindustrian
C perikanan
D perlombongan

Soalan 62
Kawasan yang mempunyai penduduk paling padat di Malaysia ialah

A Delta Kelantan
B Delta Sungai Rajang
C Lembah Klang
D Lembah Kinta

Soalan 63
Penduduk yang paling jarang terdapat di kawasan

A pantai barat Sarawak
B sekitar Kuching
C Dataran Kedah
D pantai timur Kelantan

Soalan 64
Kadar kematian di Malaysia semakin menurun kerana

A lebih ramai penduduk berhijrah ke bandar besar
B lebih ramai penduduk berpindah ke luar negara
C taraf hidup penduduk bertambah baik
D jumlah penduduk menurun

Soalan 65
Kuala Lumpur menjadi tumpuan awal penduduk disebabkan oleh kegiatan

A perikanan
B perlombongan
C perindustrian
D pertanian

Soalan 66
Apakah faktor utama yang menjadikan kawasan lembangan sungai sering menjadi tumpuan penduduk?

A Kesegaran udara
B Kaya dengan mineral
C Tanih aluvium yang subur
D Tiada bencana alam

Soalan 67
Kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang jarang ialah

A Kota Bharu, Kelantan
B Tasik Cini, Pahang
C Johor Bahru
D Lembah Klang

Soalan 68
Punca utama penduduk lebih bertumpu ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia kerana

A terdapatnya jaringan jalan raya dan jalan kereta api yang baik
B berlakunya kadar kelahiran penduduk yang tinggi
C terdapatnya pelabuhan dan bandar-bandar besar
D terdapatnya dataran aluvium yang subur dan luas

Soalan 69
Faktor yang dapat mengurangkan kadar kelahiran di Malaysia ialah

A lelaki berkahwin lebih daripada seorang wanita
B lelaki yang berkahwin lewat
C wanita yang berkahwin lewat
D wanita yang berkahwin pada usia yang muda

Soalan 70
Apakah faktor yang menggalakkan migrasi penduduk ke sesuatu tempat?

A Kemudahan awam yang kurang lengkap
B Peluang pekerjaan yang terhad
C Tanah yang terhad
D Infrastruktur yang baik

Soalan 71
Kelebihan utama akibat daripada migrasi antarabangsa kepada negara asal ialah

A mengurangkan tenaga pekerja
B mengurangkan tekanan penduduk yang berlebihan
C mengurangkan pertambahan penduduk
D mengurangkan kejadian jenayah

Soalan 72
Malaysia sering dibanjiri oleh pendatang asing secara haram. Faktor yang menyebabkan keadaan ini ialah

A kestabilan politik
B kos hidup yang rendah
C mudahnya mendapat visa
D pendapatan yang lumayan

Soalan 73
Antara manfaat yang boleh diperolehi negara penerima migrasi antarabangsa ialah

A wujudnya petempatan baru
B persaingan kepada penduduk tempatan
C membekalkan tenaga pekerja yang murah
D masalah jenayah meningkat

Soalan 74
Antara faktor yang menyebabkan penduduk berpindah ke negara lain ialah

A peperangan
B budaya
C taraf hidup yang tinggi
D kadar penggangguran yang rendah

Soalan 75
Encik Zulkepli bersama keluarga berpindah dari kawasan luar bandar ke bandar Putrajaya. Encik Zulkepli mungkin sekali terlibat dalam bidang

A perindustrian
B pentadbiran
C pertanian
D perlombongan

Soalan 76
Antara sebab seseorang bergerak dari luar bandar ke luar bandar yang lain ialah untuk

A mengisi masa tua
B meneruskan perjalanan
C menyeimbangkan taburan penduduk
D menjadi peneroka di kawasan rancangan pembangunan tanah

Soalan 77
Aktiviti ekonomi yang paling banyak dijalankan di kawasan luar bandar ialah

A pembalakan
B perlombongan
C pertanian
D pembuatan

Soalan 78
Tempat yang berbeza dengan tempat-tempat lain dalam senarai di bawah ialah

A Batu Maung
B Rusila
C Mamut
D Miri

Soalan 79
Pertubuhan yang menggalakkan perpindahan penduduk dan kegiatan dijalankan oleh

A FAMA
B RISDA
C FELDA
D FELCRA

Soalan 80
Perubahan penduduk akan mendatangkan kesan yang ketara ke atas

A pencemaran air
B perubahan suhu
C penerokaan sumber
D penerangan hutan

Selasa, 23 November 2010

LMC SIRI 03

Soalan 41
Jenis tumbuh-tumbuhan semula jadi yang utama di Malaysia ialah

A hutan gunung
B hutan hujan tropika
C hutan pantai
D hutan paya air masin

Soalan 42
Apakah jenis hutan yang paling luas di Semenanjung Malaysia?

A Hutan hujan tropika
B Hutan paya air masin
C Hutan paya air tawar
D Hutan gunung

Soalan 43
Di Malaysia, kawasan pinggir laut yang berlumpur dan terlindung merupakan kawasan

A hutan pantai
B hutan hujan tropika
C hutan paya air masin
C hutan paya air tawar

Soalan 44
Pernyataan yang manakah benar tentang tumbuh-tumbuhan semula jadi di Malaysia?

A Terdiri daripada pelbagai spesies bercampur aduk
B Jarang dan tumbuh berjambak-jambak
C Menghasilkan kayu jenis lembut untuk industri kertas
D Menggugurkan daunnya pada akhir tahun

Soalan 45
Apakah ciri-ciri utama tumbuh-tumbuhan semula jadi di Malaysia?

A Tumbuhan sejenis
B Malar hijau
C Jarang
D Menggugurkan daun

Soalan 46
Tumbuh-tumbuhan semula jadi ini tumbuh di kawasan yang rendah, terlindung dan berlumpur. Hutan ini ialah

A hutan pantai
B hutan paya air masin
C hutan gunung
D hutan hujan tropika

Soalan 47
Akar yang menyokong pokoknya daripada mudah tumbang di kawasan yang berair ialah

A akar ceracak
B akar banir
C akar memanjat
D akar jangkang

Soalan 48
Mengapakah tumbuh-tumbuhan semula jadi di Malaysia tumbuh subur, padat dan malar hijau?

A Kawasannya bersaliran baik
B Hujan lebat dan suhu tinggi
C Tanih laterit yang subur
D Kawasannya rendah dan berair

Soalan 49
Apakah ciri persamaan yang terdapat antara hutan paya air masin dan hutan paya air tawar?

A Berakar ceracak dan banir
B Menggugurkan daunnya
C Pelbagai spesies tumbuhan
D Tumbuh di kawasan berpaya

Soalan 50
Mengapakah pokok-pokok hutan hujan tropika tumbuh lurus dan tinggi?

A Tanih laterit yang subur
B Untuk memperoleh cahaya matahari dan air hujan
C Kawasannya beralun dan bersaliran
D Pokok-pokoknya tumbuh amat rapat

Soalan 51
Mengapakah pokok-pokok hutan hujan tropika berakar banir?

A Untuk mencari air dalam tanah
B Untuk menyokong pokok daripada tumbang
C Untuk menyimpan air untuk musim kemarau
D Untuk menyokong tumbuhan memanjat

Soalan 52
Pokok ru merupakan tumbuhan utama di kawasan

A hutan pantai
B hutan hujan tropika
C hutan paya air masin
D hutan gunung

Soalan 53
Tumbuhan lantai hutan hujan tropika jarang kerana

A lapisan kanopinya tebal
B tanihnya kurang subur
C keadaannya kering dan panas
D sentiasa berair

Soalan 54
Apakah faktor utama yang menggalakkan kepelbagaian tumbuhan semula jadi di Malaysia?

A Suhu tinggi dan hujan lebat sepanjang tahun
B Kepelbagaian jenis bentuk muka bumi
C Pancaran matahari yang terik
D Kawasan tanah pamah yang luas

Soalan 55
Hutan paya air masin dan hutan paya air tawar di Malaysia tumbuh subur di kawasan

A panas dan lembap sepanjang tahun
B bersaliran buruk dan berair
C bersaliran baik dan beralun
D bertanih laterit yang kering

Soalan 56
Kawasan pinggir laut yang terlindung, berlumpur dan dilanda air pasang menggalakkan pertumbuhan

A hutan pantai
B hutan hujan tropika
C hutan paya air masin
D hutan paya air tawar

Soalan 57
Apakah ciri-ciri tumbuh-tumbuhan Mediterranean?

A Malar hijau dan berdaun kecil
B Menggugurkan daunnya pada musim kemarau
C Pokok-pokoknya tinggi dan lurus
D Tumbuhan lantainya sangat padat

Soalan 58
Ciri utama hutan monsun tropika ialah

A tumbuhan lantainya jarang
B pokok-pokoknya padat dan malar hijau
C menggugurkan daunnya pada musim kering
D pelbagai spesies tumbuhan bercampur aduk

Soalan 59
Apakah faktor utama yang mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan semula jadi di kawasan Gurun Sahara?

A Bentuk muka bumi
B Iklim
C Saliran
D Tanih

Soalan 60
Apakah yang berlaku akibat tindak balas antara tumbuh-tumbuhan dan benda bukan hidup (abiotik)?

A Keseimbangan ekosistem
B Ketidakseimbangan alam sekitar
C Masalah kekurangan benda hidup
D Masalah kemerosotan sumber hutan

Isnin, 22 November 2010

LMC SIRI 01

Soalan 1
Pernyataan yang merujuk ciri-ciri fizikal Semenanjung Malaysia.

A Banjaran utama semakin rendah ke arah selatan
B Tanah tinggi terdiri daripada batu kapur
C Tanah tinggi menganjur ke pinggir pantai
D Datarannya berpaya dan sempit

Soalan 2
Apakah banjaran utama di Sabah?

A Banjaran Bintang
B Banjaran Crocker
C Banjaran Tahan
D Banjaran Titiwangsa

Soalan 3
Apakah keistimewaan bentuk muka bumi di Malaysia?

A Sesuai untuk pelbagai kegiatan ekonomi
B Cerunnya diliputi tanih lava bes yang subur
C Rendah dan kemuncaknyaberbentuk bulat
D Lembangannya kaya dengan mineral

Soalan 4
Apakah kegiatan ekonomi utama di kawasan pinggir laut Malaysia?

A Perikanan
B Pemeliharaan mutiara
C Perlombongan timah
D Pembalakan bakau

Soalan 5
Kawasan pantai Malaysia yang berpasir, putih dan indah amat sesuai dijadikan kawasan

A penanaman kelapa
B perkampungan nelayan
C perindustrian
D pelancongan

Soalan 6
Pelbagai bentuk muka bumi di bahagian hikir sungai Malaysia terbentuk hasil daripada proses

A hakisan sungai
B pemendapan sungai
C pengangkutan sungai
D aliran sungai

Soalan 7
Kebanyakan sungai di Malaysia mempunyai banyak air dan tetap hampir sepanjang tahun kerana

A sungainya dalam dan lebar
B hujan lebat sepanjang tahun
C sungainya panjang
D alirannya amat perlahan

Soalan 8
Apakah faktor yang menggalakkan hakisan yang aktif di bahagian hulu sungai Malaysia?

A Sungainya sangat dalam
B Cerunnya yang curam
C Airnya banyak
D Sungainya panjang

Soalan 9
Senarai di bawah adalah beberapa pusat peranginan di kawasan tanah tinggi.

Bukit Fraser, Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting

Di manakah letaknya pusat-pusat peranginan ini?

A Banjaran Tahan
B Banjaran Crocker
C Banjaran Bintang
D Banjaran Titiwangsa

Soalan 10
Apakah sumbangan utama sungai kepada pembangunan sektor pembalakan negara?

A Membekalkan air ke kilang papan
B Sumber makanan protein kepada pembalak
C Menyediakan jalan pengangkutan utama
D Tepi sungai dijadikan tapak kem pembalak

Soalan 11
Apakah kegiatan ekonomi yang penting di kawasan tanah tinggi di Switzerland dan Malaysia?

A Pembalakan
B Perlombongan
C Pertanian berteres
D Pelancongan

Soalan 12
Penanaman padi dijalankan di lereng bukit di Pulau Jawa kerana

A tanih lava besnya subur
B lerengnya landai
C kawasannya bersaliran baik
D penduduknya padat

Soalan 13
Selain daripada jalan pengangkutan, sungai utama di Thailand dan Malaysia juga penting untuk

A penjanaan kuasa hidroelektrik
B kegiatan 'pasar apung'
C penternakan tiram
D kegiatan perlombongan

Soalan 14
Mengapakah kawasan lereng tanah tinggi di Malaysia amat sukar untuk dibina petempatan dan pertanian?

A Berhutan tebal
B Cerunnya curam
C Berbatu-batan
D Tanihnya tidak subur

Soalan 15
Bagaimanakah aliran deras sungai di bahagian hulunya boleh diperlahankan?

A Membina empangan
B Mendalamkan dasarnya
C Melebarkan sungainya
D Membina cawangan baru

Soalan 16
Di Malaysia, sungai yang mengalir deras menuruni cerun curam berpotensi

A sebagai kaedah pengangkutan
B mengairi kawasan pertanian
C menjana kuasa hidroelektrik
D dijadikan kawasan penternakan ikan

Soalan 17
Apakah kegiatan yang boleh menyebabkan kepupusan flora dan fauna di Malaysia?

A Pembalakan
B Perlombongan
C Perindustrian
D Penternakan

Soalan 18
Apakah kesan pertanian pindah terhadap alam sekitar?

A Hujan lebat
B Perubahan iklim
C Hakisan tanah
D Banjir kilat

Soalan 19
Bagaimanakah pembalakan dan kadar pembangunan yang pesat boleh mencetuskan krisis air di negara kita?

A Peningkatan suhu harian
B Kawasan tadahan berkurang
C Sungai bertambah cetek
D Hujan berkurang

Soalan 20
Bagaimanakah kegiatan pertanian di kawasan tanah pamah dapat mengancam alam sekitar?

A Penggunaan air pengairan berlebihan
B Penanaman pelbagai jenis tanaman
C Penggunaan racun makhluk perosak berlebihan
D Penggunaan jentera pertanian secara berleluasa

Selasa, 16 November 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Kesempatan Hari Raya Aidil Adha yang disambut pada 17 November 2010, saya ucapkan salam lebaran buat semua pelajar, guru dan staf SM Sains Kubang Pasu. Walau pun bergembira, pada masa yang sama kita juga perlu mengenangkan saudara-saudara kita baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia yang mungkin tidak dapat menyambut Hari Raya sebagaimana kita semua. Bersyukurlah kerana kita dilahirkan, dibesarkan dan melalui kehidupan setiap hari di sebuah negara yang aman dan makmur. Kalau kita tidak bersyukur, mungkin satu hari nanti nikmat ini akan ditarik dan mungkin kita akan sengsara di tanah air sendiri.

SELAMAT BERCUTI

Selamat bercuti diucapkan kepada seluruh pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. Walaupun bercuti bukan bermakna melupakan seketika untuk belajar. Sepatutnya kesempatan bercuti digunakan untuk bermuhasabah tentang pembelajaran sepanjang tahun 2010. Kenal pasti kelemahan untuk diperbaiki. Kekuatan yang ada dipertingkatkan. Bagi pelajar-pelajar tingkatan dua, tahun 2011 anda semua merupakan calon-calon PMR, di mana anda semua merupakan kumpulan pertama calon PMR bagi SM Sains Kubang Pasu. Moga-moga anda mampu melakarkan sejarah kegemilangan bagi sekolah yang tercinta.

Khamis, 12 Ogos 2010


PANDUAN KERJA KURSUS TINGKATAN SATU

BENTUK MUKA BUMI DAN POTENSINYA

Tajuk

Bentuk muka bumi di kawasan kajian dan potensinya.

Senarai kandungan
  • Perkara/butiran
  • Halaman
Penghargaan
  • Sekolah/pengetua/guru
  • Ibu bapa/penjaga
  • Rakan-rakan
  • Pihak luar/responden
Pendahuluan

Menamakan kawasan kajian :
  • Sebab-sebab pemilihan kawasan
  • Tempoh masa kajian dijalankan
Objektif kajian

Hendaklah dikaitkan dengan kawasan kajian :
  • Bentuk muka bumi dan ciri-cirinya
  • Potensi bentuk muka bumi kepada kegiatan manusia
  • Halangan bentuk muka bumi terhadap kegiatan manusia
  • Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
  • Langkah mengurangkan kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
  • Penerapan nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian
Kawasan Kajian

Menamakan kawasan kajian :
  • Latar belakang kawasan kajian
  • Perletakan kawasan kajian (pandang darat fizikal)
  • Lokasi kawasan kajian
  • Jarak dari bandar/pekan terdekat
Peta Kajian
  • Peta daerah (melampirkan satu peta daerah yang lengkap dengan tajuk, nama, lokasi kawasan kajian, arah mata angin dan bingkai)
  • Peta kawasan kajian (melukis peta lakar kawasan kajian yang tepat dan lengkap dengan tajuk, arah mata angin, kedudukan, simbol, petunjuk dan bingkai peta)
Kaedah Kajian
  • Pemerhatian
  • Temu bual
  • Soal selidik
  • Rujukan
Dapatan Kajian

Menamakan bentuk muka bumi

Bentuk muka bumi dan cirinya
  • Tanah tinggi
  • Tanah pamah
  • Pinggir laut
  • Saliran
Potensi bentuk muka bumi kepada kegiatan manusia dan pembangunan kawasan kajian
  • Tanah tinggi (pelancongan/pertanian/perlombongan/pembalakan)
  • Tanah pamah (petempatan/perindustrian/pengangkutan/pertanian)
  • Pinggir laut (pelancongan/pelabuhan/perikanan)
  • Saliran (kegunaan domestik/pengairan/eko-pelancongan/hidroelektrik)
Halangan bentuk muka bumi terhadap kegiatan manusia
  • Tanah tinggi (cerun curam/batuan keras/tanah nipis/tanah runtuh/gelongsoran tanah/terpencil)
  • Tanah pamah (berpaya/tanih gambut/mudah banjir/sempit)
  • Pinggir laut (hakisan ombak/tebing curam/berpaya/berlumpur/berbatu)
  • Saliran (aliran deras/pencemaran air/cetek/sungai lebar)
Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
  • Hakisan tanah
  • Tanah runtuh
  • Pemendapan sungai
  • Sungai cetek
  • Pencemaran air
  • Pencemaran tanah
  • Pencemaran udara
  • Peningkatan kelajuan angin
  • Banjir/banjir kilat
  • Kepupusan flora dan fauna
  • Peningkatan suhu
  • Ekosistem terganggu
  • Kawasan tadahan terjejas
  • Perubahan lanskap
Langkah mengurangkan kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
  • Penanaman semula
  • Tanaman tutup bumi
  • Membina tembok simen atau konkrit
  • Membina kolam 'takungan banjir'
  • Pasang sangkar berdawai
  • Bina perparitan
  • Petrol tanpa plumbum
  • Alat catalytic converter
  • Kaedah biologi
  • Banjir/banjir kilat
Rumusan

Rumusan dikaitkan dengan :
  • Objektif kajian
  • Cadangan/pendapat
  • Penerapan nilai dan unsur patriotisme
Lampiran
  • Surat pengenalan diri murid
  • Surat kebenaran membuat kajian
  • Surat makluman kepada ibubapa/penjaga
  • Surat kebenaran ibubapa / penjaga
  • Surat penghargaan
  • Borang temu bual
  • Borang soal selidik
  • Gambar/foto
  • Bahan daripada pelbagai sumber - majalah, akhbar, internet
Rujukan
  • Buku teks
  • Atlas
  • Buku rujukan
  • Internet
  • Artikel (majalah/jurnal/surat khabar/buletin)
  • Orang sumber

Jumaat, 23 Julai 2010

SAMPAI BILA .......

Setelah meniti hari-hari mendatang, setelah mengimbau hari-hari yang telah berlalu persoalannya sampai bila para pelajar SMSKP mencipta jati diri yang unggul. Pada raut sebahagian wajah-wajah mereka sebenarnya dalam keadaan tidak keruan. Kadang-kala dirasakan mereka seperti layang-layang putus tali. Sebenarnya keadaan ini boleh diubah melalui permuafakatan semua pihak. Wajarnya sama-sama berbincang, mencari titik noktahnya agar semua pihak merasa bahagia berpijak di bumi SMSKP.

Sabtu, 17 Julai 2010

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 5

Kesan Migrasi Dalaman Penduduk di Kawasan Kajian

Kegiatan migrasi yang berlaku di kawasan kajian sebenarnya telah memberi kesan yang positif dan negatif. Antara kesan-kesan yang dapat dilihat ialah :

a. Penduduk bertambah

Migrasi dalaman yang berlaku ini telah menyebabkan bilangan penduduk di kawasan kajian telah meningkat walau pun terdapat penduduk yang telah berhijrah ke luar. Ini diseimbangkan oleh kemasukan penduduk disebabkan oleh faktor governan, ikut keluarga dan perkahwinan. Walau bagaimanapun jumlah penduduk di kawasan kajian masih stabil dan masih ada kawasan yang belum dihuni oleh penduduk.

b. Hasil pertanian bertambah

Migrasi yang berlaku ini telah menyebabkan hasil pertanian telah bertambah disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pertambahan pembukaan kawasan pertanian. Keadaan ini telah menghasilkan lebih banyak jumlah pengeluaran terutamanya hasil tanaman padi.

c. Masalah sosial

Hal ini sebenarnya disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh pekerja-pekerja asing yang dibawa oleh penduduk kampung untuk bekerja dalam sektor pertanian. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk asing semakin bertambah di kawasan kajian. Mereka ini kadang kala telah menimbulkan masalah sosial seperti kes pecah rumah dan mengganggu anak-anak gadis masyarakat setempat.

d. Penggangguran

Kemasukan terlalu ramai penduduk kawasan sekitar dan warga asing telah menyebabkan berlaku persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di kalangan penduduk tempatan. Apabila berlakunya persaingan ini akan menyebabkan berlakunya masalah penggangguran.

e. Struktur penduduk berubah

Migrasi luar bandar ke bandar yang berlaku di kawasan kajian telah menyebabkan struktur penduduk berubah. Ini kerana kebanyakkan penduduk yang berhijrah ialah golongan belia atau muda terutamanya lelaki. Keadaan ini telah menyebabkan golongan muda semakin berkurangan dan golongan kanak-kanak serta tua terus bertambah. Keadaan ini telah menyukarkan penduduk untuk mengadakan aktiviti kerana kekurangan tenaga buruh yang kuat.

Penerapan unsur patriotisme

Saya berharap walau pun penduduk di kawasan kajian berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, kemakmuran kampung juga perlu dipelihara. Penduduk kampung perlulah saling bekerjasama untuk memastikan keadaan kampung sentiasa selamat untuk dihuni. Perlu wujudkan rukun tetangga untuk menjaga keselamatan kampung daripada sebarang masalah sosial daripa terus berlaku.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana kampung saya masih lagi aman dan selamat untuk dihuni.

Langkah-Langkah Mengatasi Kesan Migrasi Dalaman Penduduk

Bagi memastikan keadaan kampung saya selamat daripada sebarang masalah, beberapa tindakan boleh diambil. Antaranya ialah :

a. Wujudkan Rukun Tetangga

Rukun Tetangga ini perlu diwujudkan di kampung saya untuk memastikan kawasan kampung sentiasa selamat daripada masalah sosial seperti kegiatan pecah rumah. Giliran bertugas dan berkawal malam perlu dilakukan oleh penduduk bagi memastikan keadaan kampung sentiasa terkawal terutamanya pada waktu malam.

b. Wujudkan Peluang Pekerjaan

Bagi mengatasi masalah pengangguran, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. Keadaan ini penting bagi mengatasi masalah sosial yang diwujudkan oleh mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

c. Meningkatkan Kemudahan Kesihatan dan Pendidikan

Pihak kerajaan atau Jawatan Kuasa Kampung perlulah memastikan kemudahan kesihatan dan pendidikan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Keadaan ini sangat penting bagi memastikan golongan muda atau belia tidak berpindah atau meninggalkan kampung dan berhijrah ke kawasan bandar.

Penerapan Unsur Patriotisme

Saya sebagai penduduk berasa amat bangga kerana melalui langkah-langkah yang dilakukan, masalah dan kesan negatif lain dapat dikurangkan. Kita perlu sedar bahawa kampung ini merupakan tempat tinggal bagi saya sehingga saya menghembuskan nafas terakhir.

Justeru itu, saya amat mengharapkan agar semu individu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga kampung ini daripada sebarang masalah yang dihadapi. Semangat kerjasama dan tolong menolong perlu ada dalam diri setiap penduduk kampung saya ini.

RUMUSAN

Migrasi ini sememangnya merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting migrasi ini perlu dikawal supaya ia tidak menimbulkan masalah kepada penduduk kampung. Sebagai contoh, kemasukan warga asing yang keterlaluan boleh menyebabkan berlakunya masalah sosial kepada penduduk kampung. Di samping itu, golongan belia digalakkan untuk tidak berpindah kerana mereka merupakan aset yang amat berharga untuk membangunkan kawasan kampung saya.

Jumaat, 16 Julai 2010

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 4

HASIL KAJIAN

Konsep Migrasi Penduduk

Secara umum migrasi penduduk ialah penghijrahan seseorang yang melintasi sempadan, kawasan, negeri, negara atau sempadan antarabangsa. Merujuk kepada kajian ini migrasi yang dibincangkan ialah migrasi dalaman. Dalam konteks ini, migrasi ialah penghijrahan penduduk dari satu tempat ke tempat yang lain.

Pola Migrasi Penduduk

Setelah kajian dijalankan, saya dapati terdapat beberapa pola migrasi yang sering berlaku di kampung saya. Berikut ialah pola migrasi yang wujud :

a. Migrasi luar bandar ke bandar

Ini ialah merupakan migrasi yang paling banyak berlaku di kawasan kampung saya. Migrasi ini berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu tolakan dan tarikan. Faktor tolakan disebabkan kurangnya peluang pekerjaan dan pendapatan yang terhad, tidak lumayan dan tidak tetap. Manakala faktor tarikan pula ialah kerana kawasan bandar menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik sama ada di sektor awam dan swasta seperti perkilangan, pembinaan, perniagaan dan perkhidmatan.

b. Migrasi luar bandar ke luar bandar

Migrasi ini juga berlaku di kawasan kampung saya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh dasar kerajaan yang membuka rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, KEJORA, KETENGAH dan KESEDAR telah menarik penduduk yang tidak mempunyai tanah di luar bandar untuk berhijrah ke rancangan pembangunan tanah ini. Keadaan ini telah menarik minat penduduk kawasan luar bandar yang lain berhijrah ke kampung saya.

Faktor Yang Mempengaruhi Migrasi Dalaman Penduduk di Kawasan Kajian

Migrasi dalaman yang berlaku di kawasan kampung saya ini disebabkan oleh beberapa faktor. Setelah menganalisis borang soal selidik didapati faktor tersebut ialah :

a. Melanjutkan pelajaran

Kebanyakan pelajar yang telah menghabiskan persekolahan telah meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran ke bandar kerana di sana menawarkan banyak peluang pendidikan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara, institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kolej-kolej yang boleh memberikan masa depan kepada pelajar.

b. Peluang pekerjaan

Sememangnya migrasi luar bandar ini berlaku disebabkan oleh peluang pekerjaan yang lebih meluas di kawasan bandar. Sebagai contoh peluang kerja dalam sektor perindustrian, perniagaan, pembuatan dan lain-lain. Kadar upah yang tinggi juga menyebabkan penduduk di kampung saya berpindah ke kawasan bandar.

c. Governan

Pihak kerajaan telah memajukan kawasan kampung saya dengan adanya pembukaan tanah-tanah baru untuk kawasan pertanian seperti kelapa sawit di bawah agensi FELDA dan FELCRA. Keadaan ini menyebabkan terdapatnya penduduk dari kawasan luar bandar yang lain telah berpindah ke kawasan kampung saya untuk mencari peluang pekerjaan daripada sektor pertanian. Sebagai contoh, penduduk dari Kampung Hilir dan kawasan sekitarnya.

d. Ikut keluarga atau perkahwinan

Daripada borang soal selidik yang telah dianalisis, saya mendapati terdapat beberapa buah keluarga yang datang ke kampung saya disebabkan kerana mengikut keluarga dan berkahwin dengan penduduk daripada kampung saya. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan bilangan penduduk di kampung saya semakin bertambah secara semulajadi.

Penerapan Unsur Patriotisme

Saya sangat bersyukur kerana di kawasan kampung saya mempunyai penduduk yang hidup dalam keadaan aman, damai dan sentosa walaupun bilangan penduduk sering berubah disebabkan oleh faktor migrasi dalaman ini.

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 3

PETA KAWASAN KAJIAN

A. LUKIS PETA DAERAH KUBANG PASU

B. PETA KAWASAN KAJIAN - PETA KAMPUNG BUKIT TINGGI

Catatan : Pelajar diminta melukis peta kawasan kajian tempat kajian dijalankan (kena lukis sendiri) dan lengkapkan peta dengan perkara-perkara berikut :

1. Bingkai dan tajuk.

2. Arah mata angin.

3. Petunjuk

4. Simbol piawai.

5. Perlu diwarnakan mengikut kesesuaian.

KAEDAH KAJIAN

Sebelum memulakan kajian, saya telah mengenalpasti beberapa kaedah yang akan digunakan untuk memudahkan saya mencatat maklumat secara terperinci dan bersistematik. Oleh itu, saya telah menggunakan empat kaedah untuk menjalankan kerja kursus ini. Berikut merupakan kaedah yang telah digunakan :

a. Pemerhatian

Saya telah membuat pemerhatian untuk mengenal pasti pola migrasi yang berlaku di kawasan Kampung Bukit Tinggi.

b. Temu Bual

Seterusnya saya telah menemu bual beberapa orang penduduk kampung untuk mengetahui pendapat dan pandangan mereka tentang pola migrasi di kawasan kajian. Temu bual dijalankan kepada penduduk kampung yang telah lama menetap di situ kerana mereka lebih berpengalaman dan tahu tentang keadaan kawasan kampung.

c. Soal selidik

Saya juga telah menyediakan 20 borang soal selidik yang perlu diisi oleh penduduk kampung yang akan menjadi responden terhadap kajian yang akan dilakukan.

d. Rujukan

Selain itu, saya juga membuat rujukan di perpustakaan dan melayari internet untuk mendapatkan maklumat tambahan terutamanya tentang penerangan migrasi yang berlaku di Malaysia.

KERJA KURSUS GEOGRAFI BAH. 2

OBJEKTIF KAJIAN

Berikut adalah objektif-objektif kajian yang telah saya jalankan :

1. Mendefinisikan konsep migrasi penduduk dengan tepat dan jelas.

2. Menyatakan pola migrasi penduduk di kawasan kajian.

3. Menyatakan faktor yang mempengaruhi migrasi dalaman penduduk di kawasan kajian.

4. Menyatakan kesan migrasi dalaman penduduk di kawasan kajian.

5. Mencadangkan langkah untuk mengatasi kesan migrasi yang berlaku di kawasan kajian.

6. Penerapan nilai dan unsur patriotisme terhadap penduduk di kawasan kajian mengenai kepentingan migrasi.

KAWASAN KAJIAN

Kajian ini telah dijalankan di Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah. Lokasi kawasan kajian ini terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Alor Setar dan kira-kira 7 kilometer dari Pekan Jitra. Biasanya tambang bas yang dikenakan untuk pengangkutan bas ke sekolah ialah RM1.40 untuk perjalanan pergi dan balik yang mengambil masa 15 minit untuk sampai ke sekolah. Kawasan kampung saya mempunyai sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi yang mempunyai pelajar seramai 450 orang. Kampung saya juga untuk dikunjungi kerana mempunyai sistem perhubungan dan pengangkutan yang sempurna.

Kampung Bukit Tinggi mempunyai tanah yang subur (tanah pamah) yang rata. Keadaan ini menggalakkan sebahagian besar penduduk terlibat dalam aktiviti pertanian. Kampung ini telah wujud sekitar tahun 1900 an yang lalu. Kini telah mempunyai kira-kira 1200 orang penduduk yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum Melayu. Pekerjaan utama penduduk ialah dalam sektor pertanian iaitu menanam kelapa sawit dan selebihnya terlibat dengan sektor perkilangan, perniagaan dan profesional seperti bekerja sebagai guru dan pekerja swasta.

PANDUAN KERJA KURSUS GEOGRAFI

(sekadar panduan)

PENGHARGAAN

Saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada Pengetua Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Tuan Haji Ismail bin Ibrahim kerana telah memberikan kebenaran kepada saya untuk menjalankan kerja kursus ini. Tidak lupa juga kepada Guru Geografi saya iaitu Encik Zulkepli bin Yusoff yang telah banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat sepanjang kajian ini dijalankan.

Ucapan terima kasih juga kepada ibu bapa saya, Tuan Haji Yusoff bin Haji Hashim dan Puan Hajah Jamilah binti Ahmad kerana memberikan sokongan dan dorongan kepada saya untuk menyiapkan kerja kursus ini. Banyak wang ringgit yang telah mereka habiskan demi memastikan kajian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tidak lupa juga buat rakan-rakan saya iaitu Shahirah binti Mohamad Zainal Abidin yang telah banyak membantu saya ketika proses soal selidik dan temu bual dilakukan. Terima kasih juga kerana sudi meminjamkan basikal kepada saya.

Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Bukit Tinggi yang telah sudi memberikan kerjasama yang baik kepada saya semasa kajian ini dijalankan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian semua.

PENDAHULUAN

Kajian kerja kursus ini perlu dilakukan kerana ia merupakan syarat untuk pensijilan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kami semua telah diberikan tajuk iaitu Migrasi Dalaman Penduduk. Oleh itu, kami semua telah diarahkan oleh guru untuk membuat kajian ini di tempat sendiri memandangkan ia amat bersesuaian dengan tajuk yang diberikan. Di Kampung Bukit Tinggi, sememangnya terdapat migrasi yang berlaku. Ini disebabkan perkembangan sektor pekerjaan di kawasan sekitarnya.

Masa yang diambil untuk menjalankan kerja kursus ini ialah bermula bulan Jun sehingga bulan Ogos iaitu kira-kira tiga bulan. Setiap pelajar perlu menulis satu laporan yang lengkap tentang kajian yang telah dijalankan.

Saya berharap agar kajian dan laporan ini akan mendatangkan manfaat dan faedah khususnya kepada saya dan amnya kepada masyarakat di kawasan tempat tinggal.

Jumaat, 9 Julai 2010

KURSUS PROTOKOL DAN ETIKET SOSIAL


Pada 5 hingga 7 Julai 2010 yang lalu, saya telah menghadiri Kursus Protokol dan Etiket Sosial. Kursus berkenaan telah diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Utara (Intura) di Sungai Petani, Kedah. Kursus berkenan telah dikendalikan oleh Tuan Haji Azhar bin Omar, seorang yang amat berpengalaman luas dalam bidang berkenaan. Kursus berkenaan telah dihadiri oleh 41 orang peserta iaitu sepuluh orang peserta lelaki dan selebihnya adalah wanita. Para peserta terdiri daripada pelbagai latar dalam perkhidmatan awam. Tempoh kursus berkenaan walau pun agak singkat, namun banyak pengetahuan telah dapat diperolehi dan diaplikasikan dalam tugas harian sebagai penjawat awam. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan kursus berkenaan. Sekalung penghargaan kepada Tuan Haji Azhar bin Omar di atas kesudian mencurahkan ilmu kepada kami semua.

SALAM PERKENALAN

Salam perkenalan diucapkan kepada pengunjung blog ini. Semoga anda semua dapat memanfaatkan blog ini dalam usaha menimba ilmu pengetahuan. Sama-samalah kita jadikan blog ini sebagai medium bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan.